Ahad, 13 Mac 2016

AIR

  Air merupakan bahan asas kepada kejadian semua benda hidup (Al-Quran, 2000 : Al-Anbiya : 30). Sebagai asas pembentukan kejadian, manusia mengandungi 70% air (Carhart, 1951) manakala bahan organik memerlukan air antara 60 – 70% (Clapham, 1973). Sebagai suatu keperluan untuk semua benda-benda hidup yang terdapat di alam semesta ini, air merupakan suatu elemen yang seiringan dengan perkembangan tamadun manusia kerana pembangunan dan perkembangan masyarakat manusia sangat berkait rapat dengan pengedaran dan ketersampaian air kepada mereka (Ward dan Robinson, 1990). Ahli sains percaya manusia silam pada satu ketika dulu adalahsemiaquatic kerana kecenderungannya untuk tinggal berhampiran dengan air. Ini terbukti apabila banyak tamadun lama yang terkenal dijumpai di sepanjang sungai. Sebagai contohnya Tamadun Sumerian di sepanjang Sungai Tigris – Euphrates, Tamadun Egypt di sepanjang Sungai Nile, Tamadun Indus-India di sepanjang Sungai Indus (India), Tamadun China di sepanjang Sungai Huang Ho – Yellow River (China) dan sebagainya (Biswas, 1970).
Air merupakan juga merupakan satu sumber (resources) yang menjadi perhatian ahli geografi (Chorley and Kates, 1969 : 3). Dalam konteks umum, kajian air merujuk kepada istilah hidrologi yang member fokus kepada kajian ke atas kewujudan/taburan, ciri-ciri dan pergerakan air di dalam atau di antara komponen-komponen fizikal dan biologi dalam alam sekitar (Thompson, 1999 : 1). Taburan air yang unik mengikut ruang dan masa disebabkan oleh satu proses enjin terhebat alam sekitar dikenali kitaran hidrologi. Enjin raksaksa ini berperanan mengerakkan air dalam bentuk kitaran tanpa henti daripada lautan ke atmosfera, ke tumbuhan dan permukaan daratan, ke dalam tanih, ke dalam alur-alur atau reservoir dan balik semula ke lautan. Pergerakan-pergerakan ini dapat menghubung dan memindahkan bahan dan tenaga kepada semua komponen-komponen alam sekitar (bumi) agar ia menjadi satu sistem yang hidup dan dinamik. Interaksi yang tidak pernah putus antara semua komponen alam sekitar dijalankan melalui proses-proses penting seperti kerpasan, sejatan dan perpeluhan, susupan dan larian permukaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan